Ada Aku Kisah!


Manuskrip Ada Aku Kisah!

DI LARANG COPY PASTE!

HAK TERPELIHARA

TEKAN 'SIGN IN' ANDA DI DALAM LIST KESAYANGAN SAYA EKK...

Friday, September 7, 2012

Ada Aku Kisah! BAB 1


Ada Aku Kisah!

By : Shahriah Abdullah
http://shahriahnovelis.blogspot.com
Tajuk : Ada Aku Kisah!
Genre : Cinta Komedi
Karya : Shahriah Abdullah

Untuk pengetahuan semua. Manuskrip bertajuk Ada Aku Kisah! adalah projek terbaru Shahriah 2012.
Kiranya masih 'Fresh' lagi. 
Belum di terbitkan lagi.
Dan belum pun di edit oleh pihak EDITOR.
Hak Cipta Terpelihara. 
Jadi sebarang Copy paste ADALAH DILARANG SAMA SEKALI!
Jika ada kesilapan ejaan atau pun ayat, harap maklum manuskrip Ada Aku Kisah! belum lagi di edit oleh pihak EDITOR.

Khas buat semua peminat dan pembaca novel.
Terimalah...
 Ada Aku Kisah! 
Bermula dari Bab 1 dan seterusnya.

Aku Samsiah!
Aku Suka Makan!
Aku Suka Tidur!
Aku Memang Pemalas!
orang kata aku BESAR! aku tak peduli!
Aku Pantang Di Cabar!

Aku Gadis Normal Sebenarnya!



Ada Aku Kisah!


Bab 1



Mak aku cakap aku pemalas! Aku bukannya pemalas, tapi lambat sikit bila buat sesuatu. Aku pulak tak boleh kena sergah atau digesa untuk cepat melakukan apa jua kerja. Alamatnya memang semakin lambatlah aku nak bergerak!
“Cuba buat kerja tu pantas sikit Siah...Mak tak sabar betul tengok kau! Lambat! Terhegeh-hegeh!”
Jangan kena leter, seluruh otot aku akan jadi berat! Maka lambatlah kerja yang akan aku buat tu nanti. Tapi mak tak pernah faham.
Semua keluarga aku cakap, terutama sekali Mak dan Abang Ngah cakap aku kuat tidur! Yang ini kurang tepat! Aku sama macam manusia lain. Aku tidur awal dan sering bangun tidur ‘terlewat’ dan bukan sepanjang hari aku tidur! Ada kajian yang mengatakan tidur yang panjang dapat mengurangkan kadar penyakit jantung. Jadi aku tidur awal dan bangun lewat sikit, itu pun cuma hujung minggu sahaja, waktu cuti sekolah. Puas aku beritahu Mak dan Abang Ngah tapi sampai sekarang mereka tetap kata aku ‘Kuat Tidur!’
Aku dah lali, bila mak berleter aku pekakkan telinga, tarik selimut dan sambung tidur! Pasal mak kuat beleterlah aku paling rapat dan manja dengan mak. Abang Ngah? Suka usik aku, dia jugalah tempat aku mengadu.
Jiran sebelah kanan aku namanya Acik Munah pantang nampak aku, selalu tegur aku bila aku tengah makan dekat buai depan rumah.
“Siah dari tadi Acik tengok kau asyik mengunyah aje... tak kenyang-kenyang ke kau Siah?”
Huh! Bukan Acik Munah sahaja, kawan-kawan sekolah yang dengkikan aku pun cakap macam tu. Mak selalu berleter sebab katanya aku asyik mengunyah tak henti. Abang Ngah kalau ada di rumah ni pun akan cakap macam tu jugak! Aku bukan kuat makan! Tetapi aku kerap makan. Aku suka mengunyah bila menonton tv, baca buku, sambil bantu mak di dapur. Dan aku paling suka mengunyah bila baring atas tilam lapuk aku tu, sambil mengunyah aku baca buku lepas tu aku tertidur! memang best sangat!  Tetapi bukankah semua orang hidup untuk makan? Atau makan untuk hidup? Ahhh... Ada aku kisah! Semua orang cakap aku obes! Obes ke? Itu mereka yang cakap. Pada aku, aku biasa sahaja... Cuma besar sikit aje. Terutama sekali bahagian peha! Lain semua okay!
Satu hal lagi aku memang tak faham, apa mereka ingat mereka semua tu sempurna sangat ke? Nampak orang besar sikit mulalah mata tu terjengil! Ada pulak yang kurang asam tu siap berbisik-bisik bila aku lalu depan mereka. Lepas tu gelak sekuat hati. Apa mereka ingat aku ni beruang ke? Badut? Aku manusia biasa ada hati dan perasaan. Arghh... kalau aku ambil kisah tentang semua tu memang aku boleh jadi orang hilang akal! Menjerit macam orang gila! Akhirnya aku buat keputusan. Lantaklah! Apa orang nak cakap dan mengata pasal aku. Ada aku kisah!
Kisah tak kisah pun.. dulu kalau ada yang mengata, berbisik-bisik, ejek aku obes dan gelakkan aku, bengkak jugak biji mata melalak. Selera makan aku pulak berganda-ganda naiknya! Sekarang aku dah tak kisah. Biarlah... apa mereka nak kata nak ketawakan aku ke itu hak mereka. Aku tetap macam ni jugak!
“Dari tadi kupas kulit bawang tak sudah lagi Siah? Engkau berangan ke tidur?”
Hmm... Mak aku pun satu hal. Aku ni kan dah sedia sejak lahir memang kalah kalau bab mengupas kulit bawang. Mulalah airmata tu meleleh, Ehhh bukan airmata sahaja hingus pun sama naik meleleh!
“Dah nak siap dah ni mak. Pedih mata Siah ni mak. Bawang ni bukannya sikit.”
Menjawab jugak aku. Kalau tak berjawab nanti Mak aku cakap aku buat kerja sambil tidur!
“Cepatlah sikit buat kerja tu Siah. Dah pukul berapa dah ni? Daun pisang belum berlap lagi tu! Petang nanti nak kena bungkus nasi lemak. Banyak kerja lagi nak dibuat. Sebelum Maghrib ayah dah nak hantar ke surau. Laju sikit kerja tu Siah... Heshhh..”
Hah! Dah mulalah tu mak aku nak berleter. Ini yang aku paling lemah! Aku bukan boleh kena tegur atau dileteri kerja aku akan jadi lebih lambat bukannya cepat! Mak aku ni pun tak faham-faham dengan cara aku.
“Dah siap dah.”
Aku angkat dulang berisi bawang yang telah siap di kupas. Airmata yang meleleh sebab pedih aku seka dengan belakang tapak tangan. Hingus yang meleleh aku biarkan. Tanda protes!
“Cubalah lap sikit hingus tu! Selekeh betullah kau ni Siah! Badan aje besar perangai macam budak kecik! Heii... nak ambik tisu ni, lap hingus tu. Sebelum masuk dalam bawang. Gelilah Siah... Siah...”
Nak ambil ke tak tisu yang mak aku hulurkan tu? Aku rasa macam nak tinggalkan aje. Masuk bilik hempas pintu. Kunci! Lepas tu tidur! Lagi best!
“Hah! Nak kemana pulak tu? Ni.. ni... cili kering ni siapa pulak yang nak tolong kisar? Cepat! Jangan tercegat aje kat situ. Lajulah sikit kerja tu Siah...”
Aduhhh ni kerja yang paling aku lemah! Lemas betullah nak kisar cili kering. Nanti tangan, kaki, muka ehhh pendek kata semua sekalilah pijar! Kalau sejam dua pijar dek cili kering tu tak apalah, aku boleh tahan lagi. Pernah dulu seharian aku mengelepar menahan panas dan pijar. Penghabisannya aku tertidur depan 3 biji kipas yang aku tala kat hujung kaki aku. Mimpi ngeri aku malam tu tau!
“Alaa... Siah takut pijarlah mak. Dah cuci ke belum ni mak? Leceh laa...”
Aku merungut dengan kening bercantum, dahi berkerut seribu, mulut muncung ala boleh sangkut baldi!
“Dah. Tinggal kisar aje tu. Pakailah sarung tangan plastik kalau takut pijar.”
Hurmmm... mengeluh tak sudah aku! Tapi tak apalah mak dah siap cucikan cili kering tu. Kurang satu azab.
“Hah! Jangan pulak kau kisar sepenuh tidak dalam jug pengisar tu. Nanti meletop lagi macam dulu!”
Ohhh... mak berleter lagi.
“Kata nak cepat.”
Aku menjawab pantas. Mana boleh tahan kalau nak buat kerja tapi semua kena leter lepas tu semuanya tak kena. Hrmmm.. boring betul!
“Ya, memang nak cepat! Tapi bukan cepat nak rosakkan blender tu. Bising Ayah engkau tau Siah. Masuk ni dah dua blender yang kau letupkan!”
Aku diam. Kali ni aku tak berani nak bersuara. Betul jugak kata Mak aku. Kalau aku rosakkan jugak blender ni bermakna dah 3 biji blender yang aku dah letupkan. Heehee... Aku tergelak dalam hati.
“Tersengih-sengih? Apa yang kelakar sangat? Ingat Siah kalau kau rosakkan lagi blender lepas ni kau giling semua cili yang ada tu. Biar pijar satu badan! Nak macam tu?”
Mak Jah menjengilkan matanya. Nafas turun naik kadang-kadang dia memang boleh hilang sabar melayan perangai anak dara bungsunya. Mujurlah kakak sulong Samsiah tak sama perangai macam Samsiah. Mak Jah menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Ya, lah orang kisar cili ni sikit-sikit.  Mak lepas kisar cili kering ni, Siah nak ke kedai. Mak ada tak nak kirim apa-apa?”
Wahh aku melembutkan suara aku yang serak basah. Mata asyik menjeling cili kering yang penuh dua tapis plastik. Besar pulak tu! Terkial-kial aku menyepit cili kering, tak berani nak ku genggam takut pijar! Pukul berapa nak habis ni! Aduhhh tak suka betullah!
“Apa lagi yang nak kau cari di kedai tu Siah? Apa yang tak ada dalam peti sejuk tu? Nak beli top-up lah agaknya tu?”
Mak aku memang teror. Tahu aje dia apa yang aku nak cari di kedai tu nanti. Ais Krim dan top-up!
“Errr... tak apalah Mak. Tak jadilah pergi kedai.”
Aku malas nak dengar mak berleter panjang lebar. Merajuk pun ya. Sakit telinga aku!
“Dah tak jadi pulak.. kalau nak ke kedai tu mak ingat nak kirim telur sepapan. Duit nanti ambil dalam kocek ayah engkau yang tersangkut kat belakang pintu bilik mak sana tu hah!”
Aku menyengih. Hati terus berbunga-bunga.
“Mak nak buat puding karamel ya mak?”
Aku masih lagi menyengih malah lebih lebar sehingga menampakkan gusi aku! Lidah asyik menjilat bibir, terbayang-bayang puding karamel kesukaan aku. Sedapnya!
“Engkau ni kan Siah, ingat makan aje lain tak ada! Mak nak buat telur rebus. Nak tambah untuk kuah sambal nasi lemak ni nanti. Siah.. Siah... cuba diet sikit!”
Alahh.. ni yang aku malas nak dengar! Diet! Diet! Bukannya aku ni besar sangat pun! Tu.. Kak Liza anak Pak Ngah tu lagi besar! 6 kali ganda lebih besar dari aku! Tak pulak aku dengar Mak Ngah dan Pak Ngah berleter suruh Kak Liza diet!
“Laa.. telur yang dah siap Siah rebus kan banyak dah? Dah siap berkupas pun kulitnya. Tu hah! Dalam tapis. Tak cukup lagi ke?”
Aku mana nak mengalah. Baran aku kalau Mak dah mula sebut pasal diet! Satu hal lagi, nanti aku kena kupas lagi kulit telur. Leceh laa...
“Tadi memang cukup! Sekarang tidak! Yang kau telan 6 biji sambil kupas bawang tu tadi apa? Agaknya kau ni tak pernah kenyang agaknya ya Siah?”
Ohh... aku lupa! Baik aku angkat kaki! Sebelum mak ungkit tempeh goreng dalam tapis dah luak separuh aku ratah!
“Hah! Nak ke mana pulak tu? Cili kering ni belum habis di kisar!”
Mak Jah menengking! Hilang sabar dengan perangai anak daranya yang satu itu.
“Kencing jap!”
Tipu! Aku cepat-cepat berlalu. Lepas ni jangan harap aku nak jengah lagi ke dapur!
“Lepas tu kau lesap! Blaa... blaa...”
Aku terdengar mak sebut pasal tempeh! Cepat-cepat aku masuk bilik. Aku kunci pintu. Hempaskan badan aku atas tilam. Bergegar satu katil! Capai balang keropok ikan aku kunyah sambil baring. Terus terlelap lepas tu!


Bersambung....

Nantikan BAB 2....


4 comments:

myda_ahmad said...

kak Sha..kak sha update sampai bab akhir yerk.., nanti saya baca kt sini je, ...hehehe.

mummy_ayu said...

wah..novel barubest best..cepat la sambung kak..
:-)

Shahriah Abdullah Novelis said...

Myda hheehhee... baru bab 1 tunggu bab seterusnya... kalau habiskan kat blogs wahhh nak cari makan apa akak lepas ni hehehe.. anyway tq yaa..:)

Shahriah Abdullah Novelis said...

Mummy Ayu sabau ler hehehehehhe tq for reading yaa... keep on waiting...